Home Ekonomi Prestasi industri penerbangan negara diunjur kukuh tahun ini

Prestasi industri penerbangan negara diunjur kukuh tahun ini

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjangkakan pertumbuhan trafik meningkat daripada 6.5 peratus kepada 7.0 peratus pada tahun ini dengan jumlah penumpang penerbangan di Malaysia diunjur melebihi 100 juta buat julung kalinya.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Tan Sri Abdullah Ahmad berkata, industri penerbangan negara telah merekodkan prestasi kukuh pada tahun lalu berbanding 2016 dengan pertumbuhan trafik penumpang sebanyak 8.1 peratus tahun ke tahun, bersamaan 99.1 juta penumpang antarabangsa dan domestik.

Syarikat-syarikat penerbangan Malaysia telah meningkatkan kadar pertumbuhan Perolehan Tempat Duduk Kilometer Tersedia (RASK) melebihi kadar pertumbuhan Kos Tempat Duduk Kilometer Tersedia (CASK) yang membolehkan pengecilan jurang negatif antara RASK dan CASK sebanyak 42.5 peratus pada tahun 2017 berbanding tahun sebelumnya.

Di antara tahun 2014 dan 2017, daripada kerugian sebanyak RM0.5 bilion pada tahun 2014, keuntungan operasi bagi industri penerbangan melalui pemulihan yang ketara menghasilkan keuntungan RM1.6 bilion pada tahun 2017.

Setakat akhir Disember 2017, modal pasaran syarikat-syarikat penerbangan juga meningkat sebanyak 38.4 peratus kepada RM25.6 bilion dari RM18.5 bilion pada awal tahun 2014.

Menurutnya, pertumbuhan kukuh ini dipacu oleh permintaan penerbangan yang tinggi, kawalan inventori tempat duduk yang lebih baik dan persekitaran harga bahan api yang rendah.

Bagaimanapun, katanya, unjuran yang dibuat oleh agensi-agensi antarabangsa termasuk IATA, harga minyak mentah dijangka meningkat antara 10.7 peratus hingga 30.5 peratus pada tahun 2018 berbanding tahun sebelumnya.

“Ini mungkin akan memberi tekanan ke atas keuntungan syarikat penerbangan, yang sedia sensitif terhadap persekitaran penerbangan tambang murah yang kompetitif,” katanya di sini.

Abdullah menambah, secara keseluruhannya, industri penerbangan Malaysia berada pada kedudukan yang baik bagi mengekalkan pertumbuhan, walaupun berdepan pelbagai cabaran yang akan dihadapi seperti keuntungan operasi yang semakin mengecil dan kenaikan harga minyak.

Tambah beliau, cabaran-cabaran ini akan terus kekal, namun Mavcom optimistik prestasi industri yang positif seperti tahun-tahun sebelumnya akan berterusan pada tahun 2018. – MalaysiaGazette