Home Utama Batal HSR, Singapura tetap menaruh harapan

Batal HSR, Singapura tetap menaruh harapan

Harapan mencurah-curah di republik ini untuk Malaysia meneruskan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dalam masa 90 minit apabila Malaysia berada di landasannya dari segi kewangan.
Projek keretapi laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang masih belum diketahui statusnya.

SINGAPURA – Harapan mencurah-curah di republik ini untuk Malaysia meneruskan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dalam masa 90 minit apabila Malaysia berada di landasannya dari segi kewangan.

Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Isnin untuk membatalkan projek berkenaan menarik perbincangan dalam kalangan orang awam terutama di media sosial.

“Perlu untuk berhemah apabila kewangan atau ekonomi berada dalam kesulitan,” komen Richard Koh di laman Facebook sebuah saluran berita di sini.

Koh juga berharap bahawa HSR bukan sekadar menghubungkan Kuala Lumpur dan republik ini pada masa depan tetapi juga sehingga ke utara di Pulau Pinang.

“Apabila anda sudah bersedia untuk melaksanakannya, adalah lebih baik jika HSR terus ke Pulau Pinang dan selanjutnya,” tambah Koh.

Bersetuju dengan sentimen Koh, Robert Lim pula berharap bahawa Malaysia mempertimbangkan untuk membenarkan konsortium yang terdiri daripada syarikat Malaysia untuk mengambil alih projek itu daripada membatalkannya.

“Semak semula HSR, daripada Pulau Pinang ke Singapura, untuk menggantikan KTM yang sudah lama,” tulisnya.

Beliau menamakan Kumpulan Genting, konglomerat Malaysia, antara pihak dalam cadangan konsortium itu.

Dalam pengumumannya, Dr Mahathir, yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-7, 19 hari lalu berkata, beliau dimaklumkan Malaysia mungkin perlu membayar RM500 juta sebagai pampasan kerana membatalkan projek itu.

Projek itu dijadualkan siap pada 2026 dan dilaporkan menelan kos antara RM50 bilion dan RM60 bilion.

Terdapat cadangan daripada masyarakat di sini untuk Singapura mengecualikan pampasan itu.

“Saya percaya ini adalah satu peluang terbaik untuk Singapura membina hubungan yang lebih kukuh dengan Malaysia. Ia adalah dengan cara Singapura melupakan perundangan atau apa saja bayaran membabitkan pembatalan projek HSR,” tulis Wah Ng.

“Malaysia dan Singapura adalah seperti adik beradik dan Malaysia benar-benar mengalami tsunami kewangan.

“Walaupun jumlah yang disebut bagi memecahkan perjanjian projek untuk Singapura melepaskan bukannya kecil. Bagaimanapun, ia memberikan kebaikan yang cukup besar kepada Singapura.

“Saya percaya, dengan melakukannya, parti pemerintah akan mendapat penghargaan yang lebih baik, bukan sahaja dalam kalangan rakyat Singapura dan penduduk ASEAN,” tulis Ng dengan panjang lebar.

Bagaimanapun, Andrew Goh dilihat mempunyai idea yang lebih bernas walaupun beliau tidak bersetuju dengan cadangan mengecualikan bayaran pampasan kerana katanya “ia adalah wang pembayar cukai.”

“Saya tidak fikir kerajaan Singapura harus mengecualikan jumlah bayaran pampasan pembatalan HSR yang dinyatakan,” tulisnya.

Goh mencadangkan, “apa yang boleh kita rundingkan adalah memberikan pinjaman kerajaan ke kerajaan kepada Malaysia yang dibayar dalam tempoh, katakan, 10 sehingga 20 tahun.”

“Cara lain, selaraskan semula struktur saham (60-40 peratus) usaha sama Malaysia-Singapura.”

Dr Mahathir berkata, HSR tidak memberi manfaat kepada Malaysia kerana ia akan membabitkan kos yang amat besar dan kita tidak akan meraih keuntungan daripadanya disebabkan ia landasan yang pendek.

Menurut anggaran oleh UOB Kay Hian Malaysia Research, HSR mungkin menelan kos RM40 juta bagi setiap satu kilometer termasuk sistem dan landasan.

Projek HSR yang sepanjang 350 km – dengan bahagian Singapura meliputi 15 Kilometer – dijadualkan siap menjelang 2026.

Pada Disember 2016, Malaysia di bawah pentadbiran sebelum ini, menandatangani perjanjian dua hala mengenai HSR dengan Singapura.

— BERNAMA