Home Utama Tun M cabar Rahman Dahlan tunjuk bukti

Tun M cabar Rahman Dahlan tunjuk bukti

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (lima kiri) dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (empat kiri) menunaikan solat Maghrib pada Majlis Iftar Bersama Warga PDRM di Masjid Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 MEI 2018.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (lima kiri) dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (empat kiri) menunaikan solat Maghrib pada Majlis Iftar Bersama Warga PDRM di Masjid Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengemukakan bukti di atas kenyataannya bahawa negara akan kehilangan sebanyak RM209 bilion daripada jumlah pendapatan kasar sekiranya membatalkan projek keretapi laju (HSR).

Menurut beliau, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak sewajarnya membuat kenyataan tanpa bersandarkan fakta yang tepat.

“Bolehlah dia tunjuk bukti. Kita kata hilang RM1 trilion, kita ada bukti dan dokumen yang menunjukkan (duit) hilang.

“Ini cakap mulut sahaja, suruh dia tunjuk bukti di mana dan siapa yang ambil,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis iftar bersama warga PDRM di Masjid Bukit Aman di sini.

Abdul Rahman hari ini mengeluarkan kenyataan mendakwa bahawa negara akan kehilangan pendapatan berjumlah RM209 bilion dan peluang pekerjaan sebanyak 70,000 jika projek HSR dibatalkan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengurangan pengawal pengiring dan Unit Tindakan Khas (UTK) Datuk Seri Najib sebagaimana yang ditimbulkan oleh bekas perdana menteri itu, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu mengenai perkara tersebut.

Bagaimanapun katanya, Najib ketika ini sedang disiasat dan sekiranya benar (pengurangan UTK) itu berlaku ia disebabkan beliau bukan lagi seorang perdana menteri.

“Jika dia (Najib) didapati tidak bersalah dia akan dapat kelebihan seperti bekas perdana menteri lain,” ujarnya.

Najib menerusi posting terbarunya di Facebook sebentar tadi menyatakan beberapa polis pengiring dan anggota UTK yang  ditugaskan mengawalnya selama ini telah ditarik balik oleh pihak kerajaan.

“Hari ini, saya membalas tabik hormat dan mengucapkan selamat tinggal kepada kumpulan pengawal pengiring, Unit Tindakan Khas, polis pengiring dan pegawai, yang ditugaskan untuk menyediakan kawalan keselamatan dan bantuan kepada saya dan keluarga sama ada di Pejabat Perdana Menteri serta di kediaman rasmi Seri Perdana.

“Sejak beberapa minggu ini, kesemua pegawai keselamatan, polis pengiring serta pegawai bantuan yang ditugaskan kepada saya sudah ditarik balik oleh kerajaan baharu kecuali seorang pegawai ADC (Aide De Camp).

“Tak dapat dinafikan, mereka berselubung emosi dan ada yang menitiskan air mata ketika kami berlafaz kata perpisahan,” tulis Najib di laman sosial berkenaan. – MalaysiaGazette