Home Nasional Bekalan makanan utama mencukupi

Bekalan makanan utama mencukupi

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) memberi jaminan bekalan bahan makanan utama untuk kegunaan sepanjang Ramadan sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah mencukupi.

Menterinya Salahuddin Ayub berkata, perancangan bagi menjamin bekalan bahan makanan utama seperti daging, ayam, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan mencukupi bagi menghadapi musim perayaan telah dibuat oleh MOA sejak tiga bulan lepas.

“MOA telah mengambil langkah proaktif memastikan bekalan mencukupi melalui meningkatkan pengeluaran tempatan dan menambahkan kuota import bagi beberapa makanan terpilih serta melaksanakan sekatan eksport ikan ke luar negara,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi tempoh sebulan musim perayaan sempena Ramadan dan Aidil Fitri, MOA menganggarkan jumlah pengeluaran bahan-bahan utama makanan seperti daging lembu (tempatan dan import) adalah sebanyak 49,733 tan metrik, ayam (tempatan) 351,046 tan metrik, telur ayam 2,808 juta biji, dan kobis bulat 15,000 tan metrik manakala ikan (pelbagai spesis) sebanyak 108,500 tan metrik.

Salahuddin berkata, kadar harga jualan di pasar khususnya di pasar tani sepatutnya berpatutan walaupun berlaku peningkatan permintaan semasa musim perayan ini.

Katanya, sekiranya berlaku bekalan yang tidak mencukupi dan wujudnya peningkatan harga, pengguna dinasihatkan supaya melaporkan kepada MOA dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Penguatkuasaan akan dipertingkatkan dengan kerjasama KPDNKK bagi memastikan tiada unsur pencatutan dan peniaga meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual,” tambah beliau.

Sebagai rujukan, pengguna juga boleh menggunakan aplikasi MyHarga Tani dan Go Pasar Tani oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Price Catcher oleh KPDNKK bagi mendapatkan maklumat dan membuat perbandingan harga. – BERNAMA