Home Nasional Diskaun 50 peratus tol dua hari menjelang Aidilfitri – Dr Mahathir

Diskaun 50 peratus tol dua hari menjelang Aidilfitri – Dr Mahathir

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Pengguna lebuh raya di seluruh negara akan menikmati diskaun 50 peratus harga tol sempena musim perayaan Aidilfitri, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir  Mohamad.

“Tol diskaun 50 peratus akan diberikan bagi semua lebuh raya bagi tempoh dua hari sebelum hari raya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Dr. Mahathir bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Kabinet bersetuju untuk mengekalkan harga jualan runcit petrol RON 95 dan diesel, masing-masing pada harga RM2.20 dan RM2.18 seliter.

Bagaimanapun, katanya, bagi RON97 pula, kerajaan hanya menentukan harga bahan api mengikut harga semasa.

“Harga diesel dan RON 95 akan dikekalkan manakala harga RON 97 akan diapungkan mengikut harga pasaran,” katanya.

Kerajaan pada minggu lalu semasa mesyuarat Kabinet pertama Pakatan Harapan mengekalkan harga bahan api RON95, RON97 dan diesel.

Selain itu, katanya, skim kawalan harga sempena hari raya juga akan dilaksanakan bagi barangan terpilih terutamanya ayam, telur dan daging bagi membendung peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

“Skim kawalan harga sempena hari raya akan dilaksanakan,” katanya lagi – MalaysiaGazette