AMPANG – Selepas tidak hadir ke Ibupejabat Polis Daerah Ampang Jaya dan gagal dikesan kini Datuk Seri Jamal Md. Yunos muncul dalam rakaman video yang ditularkan kepada wakil-wakil media.
Dalam rakaman itu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar merayu Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kepadanya agar tidak dilayan seperti ‘penjenayah’.
Jamal yang kelihatan berada di ladang kelapa sawit berdasarkan rakaman video yang berdurasi 7:36 saat itu mendakwa beliau gagal menampilkan diri hari ini kerana bimbang akan tekanan yang dikenakan pihak berkuasa terhadap dirinya menerusi serbuan pihak polis ke kediamannya baru-baru ini.
“Saya bukannya menolak pelaksanaan undang-undang terhadap saya tetapi apabila yang berlaku terhadap saya ini nama saya disenaraihitamkan dan diletak dalam langkah keselamatan khas oleh PDRM, rakan-rakan saya yang dua tahun lalu terlibat dengan Gerakan Baju Merah ditangkap dan dituduh sekarang ini.
“Minggu lepas SPRM menyerbu kediaman saya pejabat dan berapa tempat lain.
“Saya bimbang daripada semalam hinggalah malam tadi rumah saya dipecah diserbu oleh polis, kediaman ibu saya, rakan-rakan saya ini yang membimbangkan saya untuk hadir hari ini ke IPD Ampang walaupun saya telah berjanji semalam.
“Saya mohon Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin (Yassin) memberikan jaminan kepada saya seorang pemimpin politik, pemimpin aktivis supaya tidak dizalimi, tidak dianiaya” katanya.
Jamal turut memaklumkan beliau kini diseranaihitamkan daripada meninggalkan negara oleh Jabatan Imigresen.
Tekanan pihak berkuasa terhadap dirinya ini didakwa Jamal adalah arahan daripada kerajaan Pakatan Harapan yang kini memerintah Malaysia.
“Saya melibat satu demi satu reman, jamin, reman lagi seolah-olah tidak mahu melepaskan diri saya apabila mereka dapat memegang diri saya maka saya tidak dapat peluang lagi bersama-sama dengan masyarakat di luar sana untuk menyuburkan sistem demokrasi di negara ini.
“Saya yakin dan percaya apa yang dilakukan polis hari ini dan juga pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) mereka telahpun mendapat tekanan oleh kerajaan yang memerintah hari ini iaitu kerajaan Pakatan Harapan.
“Saya bukannya penjenayah tetapi saya diperlakukan seperti penjenayah dan pengganas sekarang ini.
“Pemerintah yang diberikan mandat oleh rakyat menjalankan sistem kuku besi menekan lawan mereka saya yakin bukan saya seorang sahaja akan diberikan tindakan begini takan saya satu deni satu akan ditekan,” dakwanya.
Sebelum itu, peguamnya, Datuk Mohd Imran Tamrin merayu agar Jamal hadir ke IPD Ampang Jaya dengan segera untuk memberi keterangan bersabit kehilangannya sebelum ini dari Hospital Ampang Puteri beberapa hari lalu sebelum proses ikat jaminnya selesai. -MalaysiaGazette