Home Nasional Notis singkat sukarkan pekerja kontrak cari kerja lain

Notis singkat sukarkan pekerja kontrak cari kerja lain

Azih Muda
Azih Muda

KUALA LUMPUR – Notis pemberhentian selama sebulan terhadap 17,000 pekerja kontrak dan tetap terlalu singkat sehingga menyukarkan mereka yang terlibat mencari pekerjaan baharu, kata Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Presidennya, Datuk Azih Muda menyifatkan notis yang singkat itu mengakibatkan pekerja terlibat tidak mampu untuk membuat perancangan kerjaya ditambah pula menjelang perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Kebanyakan mereka meminta notis pemberhentian dilanjutkan supaya mempunyai tempoh secukupnya untuk menguruskan permohonan kerjaya di tempat lain tanpa menjejaskan punca pendapatan mereka.

“Jadi, CUEPACS merayu kepada kerajaan untuk mempertimbangkan lanjutan notis pemberhentian, khususnya golongan pekerja daripada kumpulan pelaksana satu, dua dan pengurusan serta profesional (P&P) yang langsung tidak terbabit dengan urusan dasar,” kata beliau dalam sidang media di ibu pejabatnya hari ini.

Jelas Azih, sejak pengumuman tersebut ramai pekerja yang terkesan daripada notis itu datang menemui CUEPACS dan meluahkan rintihan mereka akibat daripada notis tersebut.

“Secara berperingkat, golongan pekerja kontrak dan tetap yang terkesan dengan penamatan perkhidmatan seperti diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 23 Mei lalu hadir ke CUEPACS untuk menyuarakan rintihan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azih juga merancang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara berkaitan.

“Kita sudah utus surat berhubung hal ini (pertimbangan melanjutkan notis pemberhentian) kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, justeru saya merayu ia mendapat maklum balas sewajarnya.

“Kerajaan memang mempunyai berhak menamatkan sebarang kontrak perkhidmatan, tetapi dalam hal ini kita minta supaya beri sedikit keanjalan kerana ia berlaku menjelang Aidilfitri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

+ posts