Home Ekonomi Pengukuhan kedudukan kewangan jadi keutamaan kerajaan PH

Pengukuhan kedudukan kewangan jadi keutamaan kerajaan PH

Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Pengukuhan kedudukan kewangan akan dijadikan keutamaan oleh kerajaan Pakatan Harapan di mana amalan kewangan yang tidak telus akan dihentikan serta ketirisan di semua peringkat ditangani, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, langkah-langkah jangka pendek yang drastik perlu diambil bagi memulihkan kedudukan kewangan dan ia termasuklah mengawal perbelanjaan operasi kerajaan serta mengkaji semula projek pembangunan yang tidak mampan, tidak perlu dan yang tidak mendesak.

“Hutang kerajaan juga akan distruktur semula bagi mengurangkan pendedahan risiko kewangan.”

“Negara menghadapi cabaran untuk mengukuhkan kedudukan fiskal dan pada masa sama cabaran untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan,” katanya di dalam satu kenyataan akhbar.

Mohamed Azmin berkata, kedua-dua objektif ini perlu diimbangi bagi menentukan pembangunan yang berterusan serta bersifat inklusif.

Walaupun ketika ini kerajaan sedang giat melaksanakan inisiatif untuk mengukuhkan kedudukan fiskal, namun kerajaan tidak akan mengabaikan objektif pertumbuhan sosio-ekonomi, katanya.-MalaysiaGazette