Home Utama Penjawat awam gred 41 dan ke bawah terima RM400

Penjawat awam gred 41 dan ke bawah terima RM400

Tun Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MEI 2018

PUTRAJAYA – Sempena Aidilfitri penjawat awam gred 41 dan ke bawah akan menerima bantuan khas RM400 manakala pesara pula bakal memperoleh RM200, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, bantuan khas itu diberikan selepas kerajaan memperkukuhkan kedudukan kewangan negara menerusi langkah penjimatan perbelajaan yang diumumkan minggu lalu.

“Kita telah memperkukuhkan kedudukan kewangan kerajaan di antaranya pemberian bantuan khas sebanyak RM400 untuk penjawat awam gred 41 dan ke bawah.

“Manakala pesara kerajaan pula akan menerima bantuan sebanyak RM200 termasuk saya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua kiri), Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (dua kanan), Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng (kiri) dan Menteri Pertahanan Malaysia, Yb Mohamad Sabu (kanan) bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MEI 2018

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pemberian bonus Aidilfitri itu akan diumumkan Perdana Menteri hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mengesahkan penjawat awam bakal diberikan bonus Aidilfitri pada Isnin namun beliau tidak menetapkan sebarang jumlah bayarannya.

Mahathir juga berkata, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak akan digantikan dengan nama lain tidak lama lagi.

“Kita juga akan memberi bantuan sara hidup kepada rakyat untuk menggantikan BR1M.

“Jumlah bantuan yang diberikan BR1M sebelum ini akan dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata lagi, pemberian terbabit merupakan sebahagian daripada janji 100 hari Pakatan Harapan namun ia hanya akan ditunaikan mengambil kira keadaan kewangan semasa negara.

“Sebab itu janji-janji ini akan ditunaikan tetapi ia perlu mengambil kira keadaan kewangan dan perlu menentukan keadaan supaya ia tidak menjejaskan pentadbiran negara.

“Tetapi janji ini akan dilakukan bermula sekurang-kurangnya dalam 100 hari,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

+ posts