
KUALA LUMPUR – Penyusutan dalam aliran pasaran saham dan aliran keluar oleh pelabur asing dalam pasaran-pasaran baru muncul sepatutnya menjadi peluang kepada para pelabur jangka panjang.
Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar meramalkan turun naik pasaran saham dijangka berterusan.
Katanya, a bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi di pasaran-pasaran baru muncul memandangkan pelabur-pelabur kembali kepada pasaran negara-negara maju seperti Amerika Syarikat.
“Turun naik dijangka berterusan dan sebagai pelabur jangka panjang sebarang kejatuhan pasaran akan memberi peluang kepada pengurus-pengurus dana,” katanya di sini.
Meskipun dalam ketidaktentuan pasaran, PNB akan terus fokus kepada kemampanan pulangan jangka panjang.
“Seperti pengurus-pengurus dana lain, PNB juga mempunyai peruntukan aset strategik dan kedudukan pegangan jangka panjang, kami akan terus memenuhi sasaran yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette