Home Nasional Restoran Raj’s Banana Leaf Bangsar diarah tutup – DBKL

Restoran Raj’s Banana Leaf Bangsar diarah tutup – DBKL

Gara-gara video pekerja-pekerja mencuci pinggan di kawasan lopak air di belakang premis yang tular di media sosial, pengurusan restoran daun pisang Raj's Banana Leaf Bangsar diarah menutup operasi serta-merta.
Gara-gara video pekerja-pekerja mencuci pinggan di kawasan lopak air di belakang premis yang tular di media sosial, pengurusan restoran daun pisang Raj's Banana Leaf Bangsar diarah menutup operasi serta-merta.

KUALA LUMPUR – Gara-gara video pekerja-pekerja mencuci pinggan di kawasan lopak air di belakang premis yang tular di media sosial, pengurusan restoran daun pisang Raj’s Banana Leaf Bangsar diarah menutup operasi serta-merta.

Notis perintah tutup itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan berkuatkuasa pukul 9.20 pagi tadi sehingga tarikh yang akan diberitahu kemudian.

Timbalan Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran DBKL, Dr Chandrakant Patel berkata pihaknya difahamkan restoran itu mempunyai ruang pembersihan yang terhad menyebabkan pekerja-pekerjanya terpaksa mencuci pinggan di luar premis.

“Apa yang diviralkan dalam media sosial itu adalah kerana mereka (pekerja) tidak mempunyai ruang pembersihan mencukupi.

“Kami akan membuat pemeriksaan kebersihan di sekitar premis tersebut sebelum menghubungi mereka untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas menjalankan operasi kebersihan di premis itu di sini, hari ini.

Katanya tahap kebersihan restoran itu berada di gred A selepas pemeriksaan pada tahun lalu dan pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai perkara itu.

Kira-kira 10 pegawai penguatkuasaan dari DBKL, Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan dan Kementerian Kesihatan Malaysia hadir ke premis itu bagi menjalankan pemeriksaan selepas mendapat aduan mengenai video viral itu sejak semalam.

Menerusi rakaman video berdurasi 30 saat itu, seramai enam pekerja restoran itu dilihat mencuci pinggan di kawasan lopak air belakang premis itu yang telah ditonton lebih 270 ribu pengguna media sosial sejak malam tadi.

Namun, pihak pengurusan restoran itu kemudiannya tampil memohon maaf menerusi Facebook berhubung insiden itu dengan menawarkan makanan percuma.

— BERNAMA