Home Nasional Akta pembiayaan politik perlu ditambah baik

Akta pembiayaan politik perlu ditambah baik

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Cadangan berhubung akta pembiayaan politik akan ditambah baik sejajar dengan perkembangan semasa terutama selepas pilihanraya umum ke-14 yang lalu.

Ketua Sekretariat kepada Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik, Institut Integriti Malaysia, Amerul Muner Mohammad berkata, kajian berhubung perkara tersebut pernah dilakukan dua tahun lepas dengan 32 cadangan telah dikemukakan kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri.

Namun begitu, ia perlu ditambah baik mengikut perkembangan semasa dengan menjadikannya lebih komprehensif dan tidak hanya tertakluk kepada parti sahaja malahan melibatkan turut ahli politik.

“Tiga puluh dua cadangan itu hanya meliputi pembiayaan politik sahaja dan berdasarkan terma dan rujukan yang ada pada masa itu sahaja.

“Sudah pastinya dengan adanya Jawatankuasa Reformasi Institusi ini kami perlu mengemukakan cadangan yang lebih terkini dan menyeluruh kerana selama ini peraturan hanya dikenakan kepada calon yang bertanding dan dalam tempoh pilihanraya sahaja sedangkan aktiviti politik berlangsung sepanjang tahun dan di luar tempoh pilihanraya.

“Selama ini kita lihat banyak parti politik dan individu yang terlibat dalam politik yang tidak mempunyai urus tadbir yang baik di dalam menguruskan wang sumbangan atau pembiayaan politik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan dengan Jawatankuasa Reformasi Institusi di sini hari ini.

Menurut Amerul, sekretariat tersebut menjadikan lima negara seperti Kanada, Mexico, Indonesia, Taiwan dan Korea Selatan sebagai rujukan namun kesemuanya tidak mempunyai set lengkap untuk diikuti Malaysia.

Dengan itu katanya, Malaysia perlu membuat sistem sendiri berdasarkan kesesuaian.

Beliau amat berharap agar Jawatankuasa Reformasi Institusi berusaha di dalam menjadikan undang-undang pembiayaan politik sebagai satu realiti. – MalaysiaGazette