Home Ekonomi Iran minta sokongan OPEC

Iran minta sokongan OPEC

DUBAI – Iran meminta OPEC menyokongnya selepas berhadapan dengan sekatan Amerika Syarikat dan memberi isyarat bahawa ia belum lagi bersetuju dengan pandangan Arab Saudi untuk meningkatkan bekalan minyak global.

Keadaan ini dijangka menimbulkan masalah bagi OPEC pada mesyuaratnya bulan depan.

Iran, saingan utama Arab Saudi, mempunyai sejarah yang sukar dalam mesyuarat OPEC.

Pada tahun 2015 negara itu enggan menandatangani polisi OPEC, dengan mengatakan ia perlu meningkatkan pengeluaran disebabkan berdepan dengan sekatan-sekatan berikutan perjanjian Tehran dengan kuasa utama dunia.

Presiden A.S. Donald Trump awal bulan ini telah membatalkan perjanjian nuklear dengan Iran dan mengumumkan tahap “sekatan tertinggi” terhadap anggota OPEC itu.

Iran adalah pengeluar minyak ketiga terbesar di Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) selepas Arab Saudi dan Iraq.

“Kami ingin … mendapatkan sokongan OPEC mengikut Artikel 2 di bawah Statut OPEC, yang menekankan menjaga kepentingan negara anggota secara individu dan secara kolektif,” kata Menteri Minyak Iran, Bijan Zanganeh.

Arab Saudi dan Rusia telah memaklumkan sudah sedia untuk meningkatkan pengeluaran bagi mengurangkan kebimbangan kekurangan bekalan.

Peningkatan pengeluaran minyak akan mengakhir perjanjian 18 bulan yang mengekang bekalan bahan bakar itu selepas harganya merudum.

Harga minyak mencecah paras tertinggi sejak 2014 melepasi AS$80.50 setong pada bulan ini.

Sejak sekatan ditarik balik, Iran telah meningkatkan pengeluaran melepasi 4 juta setong, walaupun kekurangan projek-projek baru dan kebimbangan pelabur-pelabur barat.

Jadi, jika OPEC meningkatkan bekalan, Iran akan mendapat faedah kurang berbanding Arab Saudi kerana ia perlu bekerja keras meningkatkan pengeluaran minyak, pada masa sama berhadapan dengan penurunan harga minyak. – MalaysiaGazette