KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sepatutnya diberi ruang untuk mengembangkan perniagaannya dan bukannya menjarah dana syarikat petroliam milik negara untuk menampung perbelanjaan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Cadangan kerajaan untuk meminta Petronas, Khazanah Nasional Berhad dan Bank Negara Malaysia (BNM) membayar dividen lebih tinggi bagi mengatasi kehilangan hasil Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah satu langkah rapuh.
Datuk Seri Najib Razak berkata, tindakan itu bakal mengorbankan jangka panjang untuk pembiayaan jangka masa pendek.
Ini kerana, katanya, keuntungan Petronas bergantung kepada harga minyak dan gas dunia yang terletak di luar kawalannya.
Walaupun harga minyak dunia sekarang agak tinggi berbanding jangkaan dalam bajet 2018, namun kebergantungan keterlaluan terhadap harga minyak sepatutnya dielakkan kerana harga minyak pernah jatuh sebanyak 80 peratus seperti yang berlaku pada tahun 2014 dan 2015.
“Saya mohon kerajaan baharu ini akan terus memberi ruang dan modal yang cukup besar kepada Petronas untuk terus memenuhi visi mereka dan bukannya menjarah dana Petronas atau bagi misi ‘bail-outs’ sebagaimana dilakukan ketika pentadbiran 22 tahun Tun Mahathir yang dahulu,” katanya menerusi Facebook beliau.
Najib gembira apabila rizab tunai Petronas meningkat kepada RM164.7 bilion pada akhir Mac 2018, meningkat RM36.5 bilion berbanding RM128.2 bilion pada tiga bulan lalu iaitu pada penghujung 2017.
Katanya, peningkatan ini adalah berikutan harga minyak yang memberangsangkan, selain dari penerimaan bayaran daripada pelaburan Aramco Saudi bagi projek RAPID Pengerang.
“Rizab tunai Petronas sekarang jauh lebih tinggi berbanding tahun 2008 semasa saya mula bertugas sebagai menteri kewangan.
“Pada ketika pentadbiran saya, saya amat teliti dalam memastikan Petronas tidak perlu membayar dividen kepada kerajaan melangkaui keperluan kerana saya mahu memastikan mempunyai imbangan tunai mencukupi bagi memenuhi pelan pengembangan dalam sektor perniagaan utama dan hiliran bagi menjadi sebuah syarikat tenaga berintegrasi bertaraf dunia,” ujar beliau.
Hasilnya, baki tunai Petronas telah meningkat secara signifikan dan syarikat ini berupaya membuat pelaburan serta berkembang untuk melaksanakan projek bersifat ‘game changer’ seperti projek RAPID Pengerang, Projek Integrasi Minyak dan Gas Sabah Sarawak (SSIOGP) dan projek Amonia dan Urea Sabah (Samur).
Tambah Najib, ketika pentadbirannya, Petronas turut diberi ruang kebebasan untuk membuat pelaburan dalam projek huluan yang besar di Malaysia dan di merata tempat di dunia seperti Kanada, Iraq dan Brunei.
Pelaburan-pelaburan ini akan berupaya menghasilkan dividen yang tinggi bagi Petronas serta Malaysia bagi jangka masa panjang. – MalaysiaGazette