KAJANGĀ – Kesedaran tentang bahaya merokok dalam kalangan rakyat Malaysia boleh menjimatkan sehingga RM3 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan tiga penyakit akibat pengambilan hasil tembakau itu tanpa kawalan.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sekiranya kesedaran itu meluas dan pengambilan rokok berkurangan, dana berbilion ringgit itu boleh digunakan untuk membayar hutang negara yang kini mencecah RM1 trilion.
“RM3 bilion adalah jumlah yang kita belanjakan. Kalau kita dapat mengurangkan kos rawatan itu, ia satu penjiumatan yang besar.
“Kos itu kita sendiri cetuskan, lebih banyak kesedaran timbul dalam kalangan generasi muda, bukan sahaja kita boleh buat penjimatan bahkan gaya hidup yang lebih baik dan generasi yang lebih baik untuk masa depan,” katanya pada sidang media di Universiti Putra Malaysia, di sini, hari ini.
Pada masa ini, kerajaan terpaksa membelanjakan sehingga RM3 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan bagi tiga jenis penyakit utamam akibat merokok.
Antaranya penyakit jantung koronari menelan kos sehingga RM545 juta, kanser paru-paru (RM133 juta) dan penyakit paru-paru kronik (RM2.247 bilion) setahun.
Katanya, sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan 2018 merupakan salah satu usaha berterusan kerajaan untuk memupuk kesedaran bahaya merokok.
“Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Kawalan Tembakau perlu diperkukuhkan dalam memastikan kanak-kanak dan remaja tidak memulakan amalan ini,” katanya.
Katanya, bagi tujuan itu kerajaan sedang meneliti draf Akta Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok sebelum ia boleh dibentangkan ke Parlimen.
“Akta baharu ini bakal diperkenalkan untuk memastikan kawalan maksima terhadap pengambilan tembakau dan rokok selari dengan Konvensyen Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) ditandatangani Malaysia sebelum ini.
“Akta ini juga akan mengawal pengguna hasil tembakau dan bahan-bahan lain berkaitan merokok termasuk rokok elektronik,” katanya. – MalaysiaGazette
Saya nak minta tanya berapa banyak Tax yang dikutip dari jualan rokok?