KUALA LUMPUR – Wira Perkasa Malaysia menentang keras tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF 2.0) supaya kemasukan pelajar ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada semua kaum.
Sayap Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu menyifatkan tuntutan Hindraf 2.0 itu tidak wajar dan membangkitkan kemarahan orang Melayu, yang mana hak istimewa mereka telah termeterai kukuh dalam Perlembagaan Negara.
Pengerusi Biro Agama Wira Perkasa Malaysia, Wan Mohd Faizal Wan Mahmood berkata, Hindraf 2.0 tidak wajar menyentuh isu yang mampu membangkitkan kemarahan orang Melayu.
“Perkara terkait dengan UiTM adalah sesuatu yang tidak wajar disentuh oleh mana-mana pihak kerana ia dinaungi Perlembagaan iaitu teras negara khususnya melalui artikel 153 berkenaan Hak Keistimewaan Orang Melayu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam
Isnin lalu, Hindraf 2.0 menuntut Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyediakan tanah seperti rancangan FELDA kepada kaum India yang berpendapatan rendah.
Ketua Umumnya, P Uthayakumar dilaporkan berkata, Hindraf 2.0 turut menuntut supaya UiTM yang diwujudkan khusus untuk Bumiputera dan Melayu turut dibuka kepada semua kaum terutama India dari golongan B75.
Kata Wan Mohd Faizal, Hindraf 2.0 atau mana-mana pihak mempersoalkan perkara itu perlu memperhalusi asas Rukun Negara yang menjadi nadi Perlembagaan dan memahami konsep Melayu sebagai tiang seri dalam membina negara.
Jelas beliau, sokongan minoriti mereka kepada PH sehingga dapat membentuk kerajaan tidak boleh dijadikan modal untuk mereka bebas menuntut pelbagai tuntutan yang pelik dan tidak masuk akal.
“Matlamat kita untuk membina semula negara, tetapi kita jangan mudah membiarkan kaum lain mengambil kesempatan atas kesempitan yang ada untuk kepentingan kaum minoriti yang sentiasa menggugat keharmonian di negara ini.
“Kita tidak akan berdiam diri jika ada sebarang usaha untuk mencabuli hak orang Malayu dengan menyemaratakan kepada semua kaum,” katanya. – MalaysiaGazette