Home Ekonomi KWSP catat pendapatan pelaburan RM12.88b

KWSP catat pendapatan pelaburan RM12.88b

KWSP
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan foto IQBAL BASRI.

KUALA LUMPUR- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan peningkatan pendapatan pelaburan kepada RM12.88 bilion dalam suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2018 (S1 2018), naik sebanyak 9.2 peratus berbanding RM11.79 bilion tempoh sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, di sebalik penurunan ekonomi negara maju pada suku pertama 2018 akibat peningkatan luar jangkaan kadar inflasi Amerika Syarikat, KWSP masih mampu mengekalkan prestasi positif didorong oleh pertumbuhan pasaran domestik dan Asean selain diversifikasi dalam pelbagai pasaran, geografi dan sektor.

“Kami telah dapat mengurangkan impak akibat kejatuhan dalam ekuiti pasaran maju, seterusnya membolehkan kami untuk mengekalkan prestasi yang konsisten untuk kesemua portfolio, di mana ekuiti domestik merekodkan prestasi yang lebih baik berbanding kelas aset lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menyentuh mengenai pelaburan asing yang merangkumi 27.3 peratus daripada aset pelaburan keseluruhan KWSP telah menyumbang sebanyak 33.6 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan pada suku pertama 2018.

“Tekanan dan kelemahan perniagaan global yang semakin meningkat di kalangan negara baru muncul telah mengancam semua pasaran, dan oleh itu, kami lebih waspada terhadap jangkaan pulangan untuk tahun ini.

“Di peringkat domestik pula, kami mengekalkan unjuran positif jangka panjang kerana asas ekonomi Malaysia tetap kukuh meskipun mengalami ketidaktentuan jangka pendek selepas pilihanraya baru-baru ini.”

“Prestasi pasaran global pada suku tahun semasa dan sehingga akhir tahun ini dijangka tidak menentu dan kami akan kekal berwaspada berikutan kenaikan kadar faedah secara agresif oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat,” katanya lagi.

Pada suku pertama 2018, ekuiti yang merangkumi 41.59 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP, telah menyumbang RM7.93 bilion, mewakili 61.58 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan dalam suku tahun tersebut.

Sebanyak 50.53 peratus aset pelaburan KWSP dilaburkan dalam instrumen pendapatan tetap yang terus memberikan aliran pendapatan yang konsisten dan stabil.

Suku tahun pertama melihat instrumen pendapatan tetap mencatatkan pendapatan sebanyak RM4.76 bilion, bersamaan dengan 36.99 peratus daripada pendapatan pelaburan suku tahunan.

Pendapatan dari Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Bon Sama Taraf meningkat kepada RM2.24 bilion dalam suku pertama 2018. Pinjaman dan Bon menjana pendapatan pelaburan sebanyak RM2.52 bilion manakala pelaburan dalam Instrumen Pasaran Wang yang mewakili 2.91 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan, telah menyumbang RM292.91 juta kepada pendapatan pelaburan.

Segmen hartanah dan infrastruktur pula mencatatkan pendapatan pelaburan negatif sebanyak RM107.38 juta.

Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan nilai dolar Amerika berbanding mata wang utama yang lain, termasuk Ringgit Malaysia, yang telah memberi kesan terhadap pelaburan tersebut.

Pendapatan pelaburan negatif yang direkodkan bagi kelas aset tersebut bagaimanapun dijangka akan diimbangi oleh aliran masuk pendapatan pelaburan pada suku-suku tahun yang akan datang.

Nilai aset pelaburan KWSP mencecah RM814.38 bilion, naik 0.53 peratus atau RM4.25 bilion daripada 31 Disember 2017. Daripada jumlah keseluruhan aset pelaburan, RM321.05 bilion, atau 39.42 peratus, dilaburkan dalam aset patuh Syariah manakala selainnya dilaburkan dalam portfolio konvensional.

Sebanyak RM1.22 bilion daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar RM12.88 bilion dijana untuk Simpanan Shariah, manakala RM11.65 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional.

Selaras dengan pelaksanaan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9 (MFRS 9) berkuatkuasa mulai 1 Januari 2018, akan terdapat beberapa perubahan dalam amalan pelaporan kewangan KWSP.

“KWSP sentiasa mengamalkan piawaian yang terkini.

“Sewajarnya, keuntungan modal atas pelupusan ekuiti berjumlah RM6.19 bilion akan disalurkan kepada keuntungan terkumpul daripada Penyata Pendapatan Komprehensif Lain dan bukan kepada Penyata Untung Rugi seperti amalan MFRS 139 sebelumnya.

“Walau bagaimanapun, kami menjangkakan kesan MFRS 9 terhadap kewangan kami adalah minima,” jelasnya.

Tambah Shahril, di bawah MFRS9, KWSP tidak akan lagi mengiktiraf apa-apa rosot nilai ke atas pegangan ekuitinya.-MalaysiaGazette