SURABAYA – Pihak berkuasa Indonesia hari ini menahan 41 suspek pengganas yang disyaki mempunyai kaitan dengan beberapa serangan bom di Surabaya.
CNA memetik laporan Antara News sebagai berkata, Ketua Polis Indonesia, Tito Karnavian memaklumkan empat suspek turut ditembak mati kerana melawan ketika cuba ditahan.
“Kami bertindak pantas selepas insiden pengeboman nekad di Surabaya dan Sidoarjo, pada 13 dan 14 Mei dan mengenal pasti beberapa suspek.
“Seorang suspek pengganas di Probolinggo menyerah diri kepada polis tempatan disebabkan sering dikejar pihak berkuasa,” katanya.
Tito berkata, 13 suspek pengganas dan 14 penduduk awam terbunuh dalam serangan terhadap tiga gereja dan sebuah ibu pejabat polis itu manakala kira-kira 40 mangsa lain turut cedera.
Pada 25 Mei lalu, Indonesia meluluskan satu undang-undang baharu yang memberikan polis kuasa lebih besar untuk mengambil langkah pencegahan terhadap suspek keganasan. – MalaysiaGazette