Home Utama Batal HSR: Singapura kaji hak tuntut pampasan

Batal HSR: Singapura kaji hak tuntut pampasan

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong bersama barisan karbinet masing-masing hadir pada mesyuarat sebelum menandatangani perjanjian Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 DISEMBER 2016
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong bersama barisan karbinet masing-masing hadir pada mesyuarat sebelum menandatangani perjanjian Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 DISEMBER 2016

SINGAPURA – Singapura, melalui saluran diplomatik telah meminta kerajaan Malaysia untuk menjelaskan pendiriannya mengenai projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR), kata Menteri Pengangkutan, Khaw Boon Wan.

“Kami telah memaklumkan kerajaan Malaysia bahawa Singapura terus menanggung kos projek ini ketika ia menunggu penjelasan Malaysia dan sekiranya Malaysia menamatkan projek tersebut, Singapura akan mengkaji implikasi dan melaksanakan hak kami (termasuk apa-apa hak untuk pampasan bagi perbelanjaan yang ditanggung) selaras dengan terma Perjanjian Dua Hala HSR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Khaw, apabila Malaysia mencadangkan projek HSR ke Singapura pada 2013, Singapura telah bersetuju kerana “kami yakin akan manfaat Projek ke Singapura” tersebut.

“Kami masih percaya bahawa hubungan kereta api laju antara Singapura dan Kuala Lumpur adalah untuk kepentingan bersama, dari segi ekonomi dan juga persahabatan serta persefahaman kedua-dua negara,” katanya.

Khaw, yang juga Menteri Penyelaras Infrastruktur berkata, Singapura akan terus menyokong projek HSR dan memenuhi semua tanggungjawabnya di bawah perjanjian itu.

“Bagaimanapun, projek berkenaan hanya oleh diteruskan jika Malaysia juga menyokongnya dan bersedia memenuhi perjanjian berkenaan.

“Singapura berharap dapat dimaklumkan mengenai kedudukan Malaysia mengenai perkara itu,” katanya.

Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pembatalan itu tertakluk kepada perbincangan dengan Singapura berikutan implikasi kewangan yang besar dan Malaysia mungkin perlu membayar pampasan kepada republik itu sehingga RM500 juta.

— BERNAMA