Home Dunia CBI siasat Tony Fernandes

CBI siasat Tony Fernandes

Tony
Tan Sri Tony Fernandes

NEW DELHI- Biro Penyiasatan Pusat India (CBI) mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes untuk tampil untuk disoal siasat pada 6 Jun ini berhubung dakwaan rasuah.

Laporan Times of India yang memetik sumber melaporkan, “notis hadir” itu sudah dihantar kepada Tony melalui e mel.

CBI dikatakan ingin menyoal siasat Tony berhubung kelulusan yang diberi Lembaga Promosi Pelaburan Asing (FIPB) untuk melabur di India dan dakwaan bahawa Ketua Kumpulan AirAsia itu mempengaruhi pegawai India untuk menyingkirkan peraturan penerbangan awam 5/20, supaya AirAsia dapat memulakan operasi antarabangsanya.

Laporan itu menyebut, beliau didakwa mendesak bekas Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia India, Mittu Chandilya untuk mempengaruhi perubahan dalam dasar pengawal seliaan penerbangan antarabangsa di India sesuai dengan syarikat itu.

CBI sudah memfailkan satu kes terhadap Tony dengan menuduhnya memanipulasi dasar kerajaan melalui rasuah dan melanggar peraturan untuk mendapatkan lesen antarabangsa untuk perniagaannya di India.

Menurut laporan Times of India, CBI berkemungkinan akan memanggil Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Bo Lingam dan Pengarah AirAsia India, Venkatramanan Ramchandran.

Ia berkata pegawai FIPB dan pegawai kementerian penerbangan awam yang mengendalikan fail AirAsia pada 2013 hingga 2014, juga akan dipanggil ke ibu pejabat CBI untuk disoal.

AirAsia India sebelum ini pernah mengeluarkan satu kenyataan mengatakan semua tuduhan itu sudah disiasat Ketua Pengarah Penerbangan Awam yang mendapati bahawa operasi dan pengurusan AirAsia India adalah selaras dengan Akta Pengurusan Pertukaran Asing. – MalaysiaGazette