KUALA LUMPUR – Satu lagi janji Pakatan Harapan tidak dapat dilaksanakan.
Terbaharu pas transit pengangkutan awam bulanan RM100 khususnya di Lembah Klang belum tentu dapat dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan berikutan kekangan selain melibatkan implikasi kewangan besar.
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, pas transit tanpa had itu yang merupakan antara janji kerajaan Pakatan Harapan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 itu memerlukan perbelanjaan yang sangat besar.
Bagaimanapun, Loke akan tetap membentangkan cadangan tentang bagaimana alternatif untuk melaksanakan janji tersebut pada mesyuarat Kabinet Rabu hadapan.
“Saya telah berbincang dengan dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebentar tentang cara terbaik untuk melaksanakan inisiatif ini. Bagaimanapun, saya dapati akan ada implikasi besar kewangan kepada kerajaan.
“Keputusan muktamad dan cara terbaik bagaimana kita boleh laksanakan dasar ini, biar saya bawa ke peringkat Kabinet dulu. Ini sebenarnya melibatkan implikasi kewangan yang agak besar kepada kerajaan dalam pengenalan program pas transit RM100 tanpa had guna.
“Kita juga ada beberapa cara, sudah ada mekanisma untuk laksanakannya juga dengan nilai sebanyak RM100 tetapi kerajaan terpaksa tanggung subsidi yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan SPAD di sini hari ini.
Bagaimanapun, Loke enggan mendedahkan jumlah kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan seandainya dasar ini dapat dilaksanakan selepas ini.
“Biar saya bentang kepada Kabinet, dapat kelulusan. Kemudian saya akan dedahkan angka-angka sebenar kepada semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Sebab tu jangan berjanji sebab nak kuasa, janji ikut kebolehan tepati bukan cari alasan senang BN jadi kambing hitam lagi.