Home Nasional Imigresen laksana Ops Mega 3.0 banteras PATI degil

Imigresen laksana Ops Mega 3.0 banteras PATI degil

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali menunjukkan statistik pendaftaran Program 'Rehiring' bagi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pada sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 JUN 2018.

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berkata jabatan itu akan melaksanakan operasi mengesan pendatang tanpa izin (PATI) yang gagal menjalani proses pemutihan.

Menurut beliau, operasi yang dinamakan Ops Mega 3.0 akan bermula 1 Julai depan sebaik Program Penggajian dan Penempatan Semula Pati atau rehiring tamat pada 30 Jun 2018 depan.

“Di sini saya tegaskan bahawa tindakan akan dikenakan kepada PATI serta majikan mereka yang gagal mematuhi syarat yang ditetapkan imigresen dalam usaha kita kedaulatan dan keselamatan terjamin,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hari ini.

Ia dijalankan atas keberkesanan dua operasi terdahulu Ops Mega dan Ops Mega 2.0 yang digerakkan bagi membanteras Pati di negara ini.

Daripada dua operasi berkenaan, Jabatan Imigresen telah menangkap seramai 213, 709 Pati sejak tahun 2014 sehingga 28 Mei lalu.

Manakala sepanjang Januari sehingga Mei tahun ini, tangkapan PATI pula dicatatkan seramai 18,317 orang.

Malah seramai 4,540 majikan ditangkap kerana berdegil menggajikan serta melindungi warga asing.

“Tahun ini, seramai 19,328 Pati dan 659 majikan telah dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan imigresen,” katanya.

Dalam pada itu, Mustafar berkata, program rehiring yang telah tamat pada 31 Disember tahun lalu mencatatkan pendaftaran seramai 83,919 majikan serta 744,942 Pati telah mendaftar melalui syarikat vendor.

Bagaimanapun, tempoh itu telah dilanjutkan sehingga 30 Jun depan.

“Sehingga Isnin lalu, seramai 415,791 Pati telah hadir ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pemutihan. Daripada jumlah itu, 307,557 telah layak untuk diputihkan tertakluk kepada keputusan pemeriksaan. -MalaysiaGazette