KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mencadangkan enam nama termasuk dua bekas Ketua Hakim Negara dimasukkan dalam barisan ulamak yang ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengkaji semula kedudukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pada masa sama, Ummah juga mencadangkan kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Penambahbaikan Institusi Islam yang diiktiraf setanding dengan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) bagi mengukuhkan institusi Islam di negara ini.
Menurut Ketua Sekretariat Ummah, Aminuddin Yahaya, enam nama yang dicadangkan itu ialah bekas Ketua Hakim Negara (2003 hingga 2007), Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim; bekas Ketua Hakim Negara (2008), Tun Ariffin Zakaria; dan bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Rais Yatim.
Tiga lagi ialah peguam yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Rahman; Peguam Syarie yang juga pemegang Ijazah Doktor Falsafah Undang-Undang Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain; dan Tokoh Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 2014, Tan Sri Syeikh Ghazali Abdul Rahman.
Katanya, Ummah memandang serius perkembangan mutakhir ini mengenai kenyataan pelbagai pihak mengenai kedudukan Jakim yang selama ini banyak berperanan menjaga hal ehwal Islam di negara ini selaras dengan peruntukan 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.
“Walaupun terdapat kelemahan di beberapa sudut, namun itu tidak seharus melayakkannya untuk ditutup sebagaimana desakan sesetengah pihak.
“Kita yakin peranan Jakim masih sangat relevan dan diperlukan dalam kecelaruan pemikiran umat Islam sekarang ini dan Ummah akan terus menyokong serta mempertahankan institusi itu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Bagaimanapun, kata Aminuddin, Ummah menyambut baik sebarang usaha untuk menambahbaikan peranan Jakim seperti disarankan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Katanya, hasrat Perdana Menteri untuk merundingi cendikiawan Islam bagi tujuan mengukuhkan bukan mengecilkan atau melemahkan peranan Jakim ke arah penghayatan ajaran Islam dengan lebih baik amat dialu-alukan.
“Ummah menyokong keputusan kerajaan untuk mengambil pandangan pakar dalam kalangan penganut Islam berkaitan urusan umat dan hal ehwal agama Islam.
“Keputusan ini boleh memadamkan kegelisahan umat Islam yang bimbang sekiranya masa depan Malaysia ditentukan oleh kaum minoriti,” katanya.
Justeru, jelas beliau, Ummah menyeru umat Islam untuk melihat keputusan kerajaan itu dengan positif.
Mengenai enam nama yang dicadangkan, katanya, beliau yakin tokoh itu mempunyai pengalaman luas dan mampu memberi pandangan yang baik.
“Kita berharap melalui penubuhan Jawatankuasa ini, keyakinan umat Islam untuk melihat agenda Islam diperkasakan oleh kerajaan dapat diperkukuhkan.
“Kita juga berpandangan Jakim harus bebas dari campur tangan politik dan untuk itu mengusulkan sebagai cadangan awal, untuk meletakkan Jakim di bawah Majlis Raja-Raja. Ini selaras dengan raja sebagai Ketua Agama Islam,” katanya. – MalaysiaGazette