Home Seni Hidup Dulu Aman Shah pergi masjid hari Jumaat sahaja

Dulu Aman Shah pergi masjid hari Jumaat sahaja

Penyanyi veteran, Aman Shah pada Majlis Ketupat Rendang Jalinan Kasih di Hotel Sri Petaling, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 26 MEI 2018.
Penyanyi veteran, Aman Shah pada Majlis Ketupat Rendang Jalinan Kasih di Hotel Sri Petaling, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 26 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal era 80-an, Aman Shah mengakui beliau pernah terleka gara-gara kesibukan dan kemasyuran dunia hiburan ketika zaman kemuncaknya.

Malah tanpa segan, Aman yang mencecah usia 64 tahun itu memberitahu, beliau mula mengubah hidup dengan kerap menunai solat fardu secara berjemaah di masjid dan surau pada usia 50 tahun.

Bapa tunggal itu bagaimanapun bersyukur apabila Allah swt memanjangkan usianya untuk menebus dosa-dosa silam dengan melakukan kebaikan sebanyak mungkin.

“Saya sudah cukup puas berhibur ketika zaman muda hingga alpa gara-gara sibuk dengan persembahan sana sini. Apa yang diwajibkan agama pun diabaikan.

“Namun saya bersyukur Allah memberi peluang dengan umur yang panjang dan kesihatan yang baik untuk menebus kesilapan lalu.

“Ketika ini, saya masih menyanyi tetapi hanya menerima persembahan mengikut keperluan. Malah saya masih lagi membuat kerja di belakang tabir di studio rakaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu menjayakan program Ketupat Rendang Jalinan Kasih anjuran Radio Klasik di Hotel Sri Petaling di sini baru-baru ini.

Turut terbabit dalam program berkenaan ialah Uji Rashid, Hail Amir, Junainah M Amin dan Ayai Ilusi.

Mengulas status duda, Aman yang popular dengan lagu Adikku Pandai Menari berkata, perkahwinan bukan lagi keutamaan buat dirinya.

“Semua tiga perkahwinan saya sebelum ini menemui kegagalan. Buat waktu ini saya tidak terdesak untuk kembali berumahtangga namun tidak serik untuk berkahwin lagi jika ada jodoh lagi.

“Saya lebih selesa hidup begini, bebas untuk buat keputusan. Kalau mahu berjalan-jalan pun, saya boleh pergi begitu saja, tanpa perlu meminta pendapat sesiapa,” katanya bapa kepada tujuh anak itu. – MalaysiaGazette