Home Nasional Jangan lantik peguam Chin Peng

Jangan lantik peguam Chin Peng

Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Pemantau Malaysia Baru menyeru Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu membantah ura-ura pelantikan Tommy Thomas sebagai calon Peguam Negara yang baharu.

Ketuanya, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak wajar memilih Tommy yang pernah mewakili tokoh komunis, mendiang Chin Peng.

“Peguam Negara sewajarnya dipilih dalam kalangan pengamal perundangan yang berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan sekaligus merupakan seorang yang berpegang teguh dengan ajaran Islam memandangkan agama Islam merupakan agama Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Lokman, satu demi satu tindakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kebelakangan ini jelas menunjukkan bahawa beliau tidak lagi dapat menolak permintaan DAP yang semakin melampau.

“Apa boleh buat, bila hanya ada 12 kerusi, pasti terpaksa tunduk dengan permintaan DAP yang mempunyai 42 kerusi,” ujarnya lagi.

Sebelum ini rakyat dikejutkan dengan perlantikan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu menjadi Menteri Pertahanan iaitu insan yang didakwanya mengiktiraf perjuangan komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

Belumpun pulih, kekecewaan ahli keluarga mangsa kekejaman komunis, kini sekali lagi mereka dikecewakan dengan cadangan Kerajaan Pakatan Harapan untuk melantik Tommy Thomas, Peguam Ketua Komunis Malaya, Ching Peng, sebagai Peguam Negara pula, kata Lokman.

“Walaupun baru 22 hari PH memerintah, pelbagai perkara yang telah dibangkitkan cukup menguris hati orang Melayu dan penganut agama Islam.

“Adakah tidak cukup dengan cadangan menutup JAKIM, membuka UITM kepada bukan bumiputera dan membuka Felda kepada bukan bumiputera?

“Apa yang cuba dilakukan oleh Kerajaan PH yang majoritinya bukan Islam ini? Adakah mereka tidak sedar bahawa satu demi satu provokasi yang dilakukan oleh mereka boleh mengundang kemarahan pribumi yang merupakan majoriti rakyat negara ini?” soal Lokman.- MalaysiaGazette