SINGAPURA – Malaysia menyokong penuh usaha ke arah ‘denuclearisation’ dan berharap usaha sebegitu tidak hanya bertumpu kepada negara tertentu seperti Korea Utara dan Iran sahaja, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
“Ia harus merangkumi semua negara yang memiliki senjata nuklear,” kata beliau kepada media di luar acara Dialog Shangri-La (SLD) edisi ke-17 di sini hari ini.
Mohamad berkata Malaysia menyambut baik rundingan menangani krisis nuklear yang dijangka berlangsung antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Singapura pada 12 Jun ini.
“Ia satu usaha yang baik. Kita tidak mahu (ia berulang) di rantau (Asia) ini.. kita ada experience.. mengenai (pengeboman) ke atas Hiroshima and Nagasaki.
“Itu adalah teknologi 70 atau 60 tahun dahulu. Kita tidak tahu teknologi nuklear sekarang. Ia amat berbahaya kepada umat manusia. Sebarang usaha ke arah ‘denuclearisation’ kita akan menyokong sepenuhnya,” kata beliau.-BERNAMA