Home Politik Shahril sedia tanding Naib Ketua Pemuda UMNO

Shahril sedia tanding Naib Ketua Pemuda UMNO

Shahril Sufian
Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – Seorang demi seorang pemimpin dari Pergerakan Pemuda UMNO tampil menawarkan diri bertanding merebut jawatan tertinggi dalam pemilihan parti hujung bulan ini.

Selepas Ketuanya, Khairy Jamaludin mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden, hari ini, Ketua Penerangan Pergerakan itu, Shahril Hamdan menawarkan diri bertanding Naib Pemuda.

Katanya, pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah membuka lembaran baru kepada semua ahli UMNO untuk bermuhasabah diri, menyemak semula kaedah perjuangan yang telah dibawa selama ini.

Ujar beliau, untuk bangkit semula dari kekalahan dan krisis itu, UMNO memerlukan proses pembaharuan menyeluruh dari segi struktur, idea, gaya penampilan dan mesej supaya mampu menarik balik sokongan rakyat kepada parti dalam PRU akan datang.

“Atas semangat perjuangan berlandaskan kejujuran, keikhlasan dan keinginan menyumbang kepada proses pembaharuan tersebut, saya dengan rasa penuh rendah diri menawarkan khidmat sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dalam pemilihan parti yang akan datang.

“Saya mohon dan merayu kepercayaan dan sokongan sahabat seperjuangan untuk sama-sama kita menjayakan proses pemulihan dan pembaharuan parti keramat ini demi agama, bangsa dan negara,” katanya di sini, hari ini. – MalaysiaGazette