KUALA LUMPUR – Sebanyak 71,000 buah kereta Honda antara tahun 2003 sehingga tahun 2013 digesa menukar segera beg udara jenis Takata.
Jika tidak pemandu aka disekat daripada memperbarui cukai jalan selepas ini, tegas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Sekatan pembaharuan cukai jalan itu merupakan antara jalan ‘selamat’ bagi memastikan pemilik kereta Honda berkenaan untuk segera menukar beg udara masing-masing berikutan laporan ia tidak selamat untuk digunakan.
Malah jelas Anthony, kemalangan sehingga membabitkan nyawa sudah dilaporkan beberapa kali berkaitan beg udara itu namun pengguna masih lagi bersikap sambil lewa.
“Syarikat Honda juga telah mengeluarkan kenyataan untuk pemilik kereta jenama berkenaan sejak beberapa tahun lepas tentang kerosakan beg udara jenis Takata namun ianya tidak di tukar oleh segelintir pengguna.
“Dari masa ke semasa, syarikat pengeluar telah mengeluarkan surat peringatan kepada pemilik berkenaan namun masih ada berpuluh ribu sehingga 71,000 pemilik masih gagal untuk menukar beg udara terbabit.
“Berikutan kebimbangan lebih banyak kemalangan yang mungkin meragut jiwa seperti yang berlaku minggu lepas, kita akan bertegas dalam hal ini dengan mengenakan sekatan daripada pemilik yang gagal menukar beg udara mereka ketika mahu perbarui cukai jalan.
“Pemilik perlu menunjukan surat yang mengatakan mereka telah menukar beg udara ini sebelum dapat memperbarui cukai berkuatkuasa serta merta. SIla beri kerjasama demi kebaikan anda semua,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat keluarga mendiang Poh Hou Tien, 23, yang maut dipercayai kerana beg udara jenis Takata itu pada minggu lepas di Taman Len Sen, Cheras di sini hari.
Hasil bedah siasat pihak Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati punca kematian Tien akibat tusukan besi sepanjang dua sentimeter yang menembusi kiri leher hingga ke tengkuk mangsa.
Bapa kepada Tien mengesyaki punca kematian anaknya adalah disebabkan kerosakan beg udara sebelah tempat duduk penumpang yang menyebabkan besi berkenaan terpelanting dengan kadar kelajuan tinggi sehingga menembusi leher anaknya.
Difahamkan, dalam kemalangan kira-kira jam 5.30 pagi itu, Hou Tien meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta dipandunya terbabas melanggar tiang lampu.
Anthony dalam masa yang sama memberitahu, setakat ini terdapat lapan kes kematian membabitkan beg udara jenis Takata di negara ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Syarikat Honda akan menghantar senarai kereta yang belum menukar beg udara pemandu mereka kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan pemilik menukar terlebih dahulu beg udara itu.
“Bagi model kereta lain yang menggunakan beg udara Takata pula, kita masih menunggu angka sebenar lagi. Setakat ini kita sudah ada rekod bagi model Honda. Kita tidak mahu salahkan mana-mana pihak tetapi tindakan yang di ambil ini untuk kebaikan semua,” ujarnya.
Sebelum ini, Honda Malaysia menarik balik 15,734 kereta yang dijual antara tahun 2003-2004 membabitkan model City (15,612 buah) dan Jazz yang diimport (122 buah) untuk penukaran beg udara.-MalaysiaGazette