KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang
menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menjelang pemilihan parti itu September ini.
Jamal dalam satu kenyataan berkata, beliau membuat keputusan untuk menawarkan diri sebagai calon jawatan tertinggi Pemuda itu demi perjuangan UMNO yang lebih baik.
Katanya, beliau juga menawarkan diri sebagai calon Ahli Majlis Tertinggi UMNO bagi penggal 2018-2021.
“Selepas menerima pandangan dan sokongan serta nasihat rakan-rakan seperjuangan, saya Jamal Md Yunos menawarkan diri bertanding sebagai calon untuk jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO bagi penggal 2018-2021.
“Tujuan saya menawarkan diri adalah untuk membina kembali semangat perjuangan kepada semua ahli-ahli UMNO seluruh Malaysia terutama kepada pemuda untuk bersama meneruskan perjuangan ini,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi seorang rakan beliau yang memuat naik statusnya di laman Facebook.
Beliau juga mengajak semua ahli UMNO supaya bangkit demi semangat perjuangan untuk membantu mendapatkan kembali sokongan dan kepercayaan rakyat.
Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan situasi semasa beliau serta kedudukannya. -MalaysiaGazette