Home Nasional Pelan induk pembangunan masyarakat India dikaji semula

Pelan induk pembangunan masyarakat India dikaji semula

M. Kulasegaran
Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran

KUALA LUMPUR – Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu akan dikaji semula, kata Menteri Tenaga Manusia, M. Kulasegaran.

Kulasegaran berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu meneliti pelan induk yang diterajui MIC itu mengenai sejauh mana perkembangannya.

“Kita (kerajaan Pakatan Harapan) mahu mengakaji semula segala isi kandungannya tidak kira apa yang disebut dalamĀ  pelan induk itu,” katanya seperti dilapor akhbar Tamil, Makkal Osai.

Kulasegaran berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Tamil Malaysia di Shah Alam semalam.

Pelan induk bertempoh 10 tahun yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjanjikan penyelesaian masalah dokumentasi kerakyatan yang dihadapi kaum India selain meningkatkan bilangan pengambilan pelajar India ke universiti awam sebanyak 7 peratus.

Memerusi pelan itu, skim pelaburan khas untuk golongan miskin tegar B40 masyarakat India ditawarkan saham bernilai RM500 juta oleh Permodalan Nasional Berhad.

Menurut Kulasegaran, beliau sudah membincangkan mengenai pelan induk itu bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

“Ramai dalam kalangan komuniti masyarakat India masih berstatus penganggur.

“Saya bertemu dan telah mengadakan perbincangan dengan Tun M pada Isnin lalu dan beliau menegaskan kita perlu melakukan sesuatu untuk menangani isu berkenaan yang menghantui komuniti India di negara ini.

“Saya sebagai menteri bertanggungjawab, akan berusaha untuk meningkatkan kualiti modal insan dalam kalangan masyarakat India untuk membolehkan mereka meraih pendapatan tinggi,” katanya.- MalaysiaGazette