KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu perang mulut di antara Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Wee Ka Siong dihentikan segera sebelum parah.
Ahmad Zahid berkata, tindakan pantas itu perlu kerana kedua-dua parti yang masih bersahabat dalam komponen BN itu memerlukan jalinan dalam wadah yang sama.
“‘Perang mulut’ antara Annuar Musa dan Wee Ka Siong harus dihentikan.
“Kedua-duanya hanya melontarkan pendapat peribadi dan bukan pendirian rasmi UMNO atau MCA,” katanya yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden dalam satu kenyataan hari ini.
Teguran Ahli Parlimen Bagan Datuk itu hadir setelah tercetus pertikaman lidah diantara Ketua Penerangan UMNO dan Timbalan Presiden MCA itu.
Wee Ka Siong dilaporkan berkata era MCA menanggung kesalahan UMNO sudah berakhir.
Kenyataan itu mengundang kemarahan Ahli Parlimen Ketereh yang membidas kenyataan itu dengan menyatakan MCA diberi tempat yang empuk dalam kerajaan dengan harapan mereka pulih dan bangkit semula.
Namun katanya, MCA tidak menunjukkan kebangkitan sebaliknya sudah hilang keupayaan.
Annuar Musa juga menjelaskan MCA bukan sahaja gagal dalam menawan hati rakyat malah gagal menawan hati ahli parti itu sendiri dan hanya minta dipapah dan dikendong.
Annuar juga menyifatkan UMNO tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan tentang kegagalan rakan parti komponen kerana menghormatinya.
Dakwanya kenyataan Ka Siong adalah umpama memijik kawan apabila terjatuh.
Ujar Ahmad Zahid, kegagalan UMNO dan MCA dalam memenangi kebanyakan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada Pilihan raya Umum Ke-14 lalu merupakan suatu realiti yang harus diterima semua.
“Ia (kekalahan) adalah satu realiti yang perlu diterima sebagai hakikat politik kebencian yang ditanam oleh pihak pesaing dalam kalangan rakyat dan tidak perlu menuding jari antara pemimpin.
“Kedua-dua tokoh berkenaan hendaklah bersatu fikiran untuk menggembleng tenaga dalam barisan pembangkang selepas ini,” katanya sebagai mengharapkan kebangkitan BN. – MalaysiaGazette