KUALA LUMPUR – Isu pelantikan Peguam Negara perlu diselesaikan secara bijaksana dengan segera dengan oleh kerajaan Pakatan Harapan dan Istana.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) yang akan bersidang esok boleh membantu menyelesaikan kelewatan yang sedang berlaku dalam proses pelantikan itu.
“Saya dimaklumkan ada mesyuarat MRR dan ia boleh membantu menyelesaikan kelewatan apa yang hendak diputuskan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam perkara terbabit.
“Kami Jemaah Menteri memberi sokongan padu dan sebulat suara kepada segala usaha dan inisiatif Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana ia langkah penting menentukan proses penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara berkesan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman semasa melakukan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas cadangan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dan ditolak oleh Sultan Muhammad V.
Barisan Nasional dan Pas mempertikaikan cadangan itu yang mahu Peguam Negara terdiri daripada seorang Islam.
Selain itu tumbul juga isu kreadibiliti dan konflik berkepentingan melibatkan Tommy Thomas yang dikaitkan dengan pengendalian kes Lim Guan Eng melibatkan pembelian hartanah di Pulau Pinang
Muhyiddin berkata, beliau tidak mahu menganggap isu tersebut sebagai krisis berlarutan.
“Saya tahu ada pelbagai isu dan masalah dan perlu diselesaikan berdasarkan kebijaksanaan dan peruntukan undang-undang yang ada.
“Maka saya rasa ia tidak akan menjadi isu berlarutan yang tak dapat diselesaikan kerajaan.
“Kerajaan Pakatan Harapan mahu melihat segala bentuk kerjasama antara pihak terlibat dan itulah harapan kita semua,” katanya. – MalaysiaGazette