LONDON – Jumlah bidaan sebanyak 88 juta pound sterling (RM467 juta) terhadap Gareth Bale bukan penghalang buat Manchester United selepas yakin perpindahan itu mampu direalisasikan.
Bale sebelum ini memberitahu dia bakal meninggalkan Santiago Bernabeu selepas tamat aksi final Liga Juara-Juara di mana Real menang 3-1 ke atas Liverpool.
Metro.co.uk melaporkan, United cuba mendapatkan khidmat Bale pada musim panas lalu dan Jose Mourinho berharap pemain itu sendiri perlu mengambil inisiatif agar perpindahan itu dapat dimuktamadkan.
Namun pemain berusia 28 tahun itu memutuskan untuk kekal di Madrid walaupun dia kurang diturunkan semasa dibawa kendalian Zinedine Zidane.
Selepas tidak tersenarai dalam skuad utama pada aksi final, Bale diturunkan dari bangku simpanan dan menjaringkan dua gol sekali gus membantu Real menjulang trofi ketiga mereka pada kejohanan tersebut.
United pula masih ingin membawa semula Bale ke pentas Liga Perdana Inggeris dan ia turut disokong pemain Wales itu sendiri.
Wakil Bale sedang berusaha untuk mencari jalan keluar buat pemain itu.
Malah Real bagaikan akur terpaksa menjual bintang Wales tersebut sekiranya tawaran lumayan kunjung tiba.
United akan mengemukakan bidaan tertinggi dan bersedia memenuhi gaji semasa Bale di Bernabeu.
Dengan hak pemilikan imej, bonus dan gaji jika digabungkan, Bale memperoleh sekitar 500,000 pound sterling (RM2.7 juta) seminggu di Real Madrid. – MalaysiaGazette