Home Seni Hidup Aidilfitri: Siti mahu pakai sedondon dengan anak

Aidilfitri: Siti mahu pakai sedondon dengan anak

Siti Nurhaliza
Penyanyi popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza semasa sesi fotografi pada Majlis Berbuka Puasa Sitizone 2018 dan Pelancaran Single 'Cinta Syurga' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 02 JUN 2018

pix; Fareez

KUALA LUMPUR – Selepas 12 tahun menanti, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui dia begitu teruja apabila menyambut Aidilfitri ini sebagai ibu buat pertama kali.

Siti, 39, memberitahu, beliau berdepan pengalaman baharu dalam hidup apabila persiapan kini lebih tertumpu kepada puteri sulungnya, Siti Aafiyah Khalid.

Jelas penyanyi yang popular dengan lagu Bukan Cinta Biasa, selama ini beliau hanya memikirkan untuk persiapan dirinya dan suami selain memilih kuih muih untuk tetamu.

“Pertama kali menjadi ibu untuk menyambut Aidilfitri, Siti begitu teruja sangat. Selama ini Siti hanya fikir persiapan sebagai isteri dan suami selain hanya memilih kuih muih.

“Tapi kali ini, saya perlu rancang untuk keperluan anak. Dan biasalah bila ada anak perempuan, mesti si ibu hendak pakaian yang sedondon dengan anaknya.

“Untuk Aafiyah, Siti bersyukur kerana banyak pakaian kasual yang dihadiahkan oleh peminat. Cuma untuk sedondon dengan Aafiyah, Siti telah sediakan sebanyak empat pasang,” katanya.

Siti ditemui pada majlis pelancaran single bersama Khai Bahar berjudul Cinta Syurga yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam Sabtu lalu.

Siti Nurhaliza melahirkan Siti Aafiyah pada 19 Mac lalu di sebuah hospital swasta secara pembedahan selepas 11 tahun melayari alam rumahtangga dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Sewaktu dilahirkan bayi itu diberikan nama sementara Fatimah Az-Zahra sempena nama anakanda Nabi Muhammad. – MalaysiaGazette