KUALA LUMPUR – Tun Daim Zainuddin berkata, Barisan Nasional tidak mampu menjadi pembangkang yang efektif kerana tidak mempunyai kredibiliti.
“Jika anda tidak mempunyai kredibiliti, orang sukar untuk mempercayai anda. Sehingga hari ini, tidak ada permohonan maaf daripada mana-mana pemimpin UMNO.
“Mereka masih tidak bersuara. Pencuri-pencuri wang 1MDB masih dalam penafian. UMNO perlu berubah,” katanya dalam wawacara bersama The Star.
Mengulas sama Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menjadi perdana menteri yang baik, beliau berkata: “Anwar pernah menerajui pelbagai kementerian dan jawatan terakhirnya adalah timbalan perdana menteri.
“Tetapi tidak ada orang yang boleh memerintah negara ini bersendirian. Itu adalah diktator. Apa yang anda perlu adalah Kabinet, penasihat-penasihat dan penjawat awam yang baik, jujur dan berintegriti”.
Beliau berharap rakyat Malaysia memberi masa kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang kurang berpengalaman dalam menerajui kerajaan.
“Anda perlu beri mereka peluang dan masa. Mereka telah menjadi pembangkang. Sebab itu mereka membuat banyak sangat kenyataan seolah-olah mereka masih dalam pembangkang.
“Jadi bersabarlah. Mereka akan belajar dengan cepat, mereka adalah orang pintar. Paling penting, mereka jujur dalam berkhidmat kepada rakyat, “katanya. – MalaysiaGazette