KUALA LUMPUR – Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengurus isu permasalahan kerakyatan dalam kalangan komuniti India di negara ini.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu diambil pada Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan minggu lalu dan jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Kami di kementerian sedang mengumpul segala maklumat supaya kami boleh kendalikan dengan mudah dan Jabatan Pendaftaran Negara akan menyediakan laporan penuh mengenai isu ini,” katanya pada sidang media semasa melakukan lawatan ke Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kebimbangan Lawyers for Liberty mengenai dasar diskriminasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terhadap penduduk Malaysia yang tidak mempunyai kerakyatan dan masalah tersebut telah berlarutan sejak zaman pentadbiran Barisan Nasional.
Pengarah Eksekutifnya, Eric Paulsen dalam kenyataan berkata, kerajaan Pakatan Harapan tidak mengakui betapa serius masalah penduduk tanpa kerakyatan di negara ini dan hanya tertumpu kepada masalah itu melibatkan komuniti India seperti dinyatakan dalam Janji 1 Komitmen Khas untuk kaum India.
Ditanya mengenai perkembangan siasatan penyelewengan 1Malaysia Development Berhad, Muhyiddin berkara, ia diserahkan kepada jawatankuasa dan pasukan khas berkaitan yang ditubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan untuk menguruskannya.
“Mereka telah diberi kuasa sepenuhnya dalam siasatan ini untuk menentukan langkah yang wajar diambil dalam aspek undang-undang berkaitan soal 1MDB,” katanya. – MalaysiaGazette