SHAH ALAM – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan satu bulan gaji kepada 17,109 penjawat awam sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Berita gembira itu diumumkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada majlis Rapat Ramadan bersama Menteri Besar Selangor di Dewan Jubli Perak, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, pagi ini.
Menurut Mohamed Azmin, bantuan khas itu juga turut diberikan kepada 755 kakitangan di tujuh jabatan Persekutuan di Selangor yang turut menerima bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 tiap seorang.
“Bayaran kepada semua penjawat awam negeri dan Persekutuan ini akan dibuat serentak pada 25 Jun ini.
“Kita bayar selepas Hari Raya kerana kita tidak mahu penjawat awam berbelanja berlebihan ketika menyambut hari raya. Berbelanjalah dengan berhemah,” katanya.
Kata Mohamed Azmin, sebanyak 10 peratus daripada bantuan khas kewangan yang dinikmati penjawat awam gred 44 akan dipotong dalam usaha membantu meringankan hutang negara. – MalaysiaGazette