PUTRAJAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjanji akan mentadbir negara berlandaskan kepada ajaran agama Islam.
Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kerajaan yang dibentuk hampir sebulan itu tidak akan cuba membuat sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang sedia ada di negara ini.
“Ada juga yang menggunakan kerajaan ini tidak akan memberi perlindungan kepada agama Islam yang telah dijadikan agama rasmi negara kita. Ini tidak tepat kerana kami juga bertanggungjawab memerintah negara ini tanpa bertegang dengan ajaran Islam.
“Kita tahu bahawa ada ramai yang mendakwa mereka bahawa melindungi agama Islam, kononnya akan mendirikan kerajaan Islam tetapi kita dapati perbuatan mereka bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya dalam ucapan Majlis Iftar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Putrajaya malam ini.
Hadir sama Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata, kerajaan PH akan membina semula negara dengan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunjang kepada negara.
“Dalam pada itu kita tidak akan lakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama Islam. Ini mudah diterima oleh kaum lain kerana kalau kita berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar ia akan menentukan negara kita ditadbir dengan baik mengikut landasan undang-undang dan kita akan bersikap prihatin dan peduli kepada keadaan rakyat.
“Ini semua bukan sahaja diterima oleh orang Islam tetapi orang bukan Islam. Kita tidak akan mengadakan diskriminasi terhadap orang lain yang menganut agama lain kerana Islam menyuruh kita mentadbir dengan memegang kepada keadilan,” katanya dihadapan lebih 1,000 ahli PPBM.
Sebelum ini kerajaan PH dihimpit kontroversi berhubung isu lantikan Peguam Negara yang baharu, Tommy Thomas.
Bagaimanapun Mahathir memberi jaminan penyelesaian akan dibuat menurut Perlembagaan Persekutuan dan lunas undang-undang dalam isu pemilihan Peguam Negara.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dikatakan menolak Tommy Thomas sebagai calon yang dicadangkan kerajaan pusat untuk dilantik sebagai Peguam Negara baharu menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali. – MalaysiaGazette