Home Utama Raja-Raja Melayu bincang isu Peguam Negara esok

Raja-Raja Melayu bincang isu Peguam Negara esok

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata warkah persilaan untuk perbincangan khas di Istana Negara itu telah dikeluarkan pada 1 Jun kepada Raja-Raja Melayu.

 

KUALA LUMPUR – Raja-Raja Melayu dijangka mengadakan perbincangan khas berkenaan jawatan Peguam Negara pada Selasa ini.

Dalam satu kenyataan semalam, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata warkah persilaan untuk perbincangan khas di Istana Negara itu telah dikeluarkan pada 1 Jun kepada Raja-Raja Melayu.

Syed Danial berkata, ketika ini kerajaan dan Istana Negara belum ada persetujuan mengenai pemberhentian perkhidmatan Peguam Negara yang ada sekarang serta calon penggantinya.

“Raja-Raja Melayu mengikuti perkembangan ini (jawatan Peguam Negara) dan merasakan ada tanggungjawab untuk membantu menyelesaikan kekusutan ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, di bawah Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri melantik seorang yang layak menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan.

Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan pula menetapkan: “…Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dan, melainkan jika dia ialah anggota Jemaah Menteri, hendaklah menerima apa-apa saraan yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.”

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali akan bercuti dan tempatnya digantikan oleh Peguam Cara Negara, berkuat kuasa serta-merta. – BERNAMA