KUALA LUMPUR – Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor dijadualkan hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malasyia (SPRM) jam 11 pagi esok.
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, kehadiran Rosmah adalah berhubung siasatan kes terhadap SRC International Sdn Bhd.
“Datin Seri Rosmah Mansor perlu hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada 11 pagi esok bantu siasatan kes SRC International Sdn Bhd,” katanya.
SPRM pada Jumaat lalu berkata badan itu telah mengarahkan kehadiran beliau bagi membantu siasatan berhubung kes bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Arahan itu bagi mendapatkan keterangan Rosmah berhubung siasatan SPRM terhadap syarikat berkenaan.
SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012. -MalaysiaGazette