PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mula mengeluarkan nama peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang telah disenaraihitamkan sebelum ini dari sistem kawalan Imigresen secara berperingkat mulai 1 Jun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mengikut rekod, sebanyak 433,708 nama peminjam PTPTN yang disenaraihitamkan sejak tahun 2000 sehingga 23 Mei lalu.
Kata beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 265,149 nama peminjam telah dibatalkan sehingga semalam dan bakinya, 168,289 lagi dijangka selesai dikeluarkan sepenuhnya dari senarai jabatan pada 15 Jun ini.
Menurut Muhyiddin, proses membatalkan senarai itu adalah susulan daripada kenyataan rasmi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada 24 Mei lalu mengenai pelepasan sekatan keluar negara terhadap peminjam PTPTN yang telah disenaraihitamkan.
“Ini adalah sebahagian daripada janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang terkandung dalam manifesto jika kita menang dan berjaya memerintah kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Jabatan Imigresen Malaysia di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.
Kata Muhyiddin, kemudahan pelepasan sekatan keluar negara bagi peminjam itu terpakai kepada peminjam yang nama mereka direkodkan dalam sistem Imigresen dan perkara ini telah dimaklumkan di semua pintu masuk seluruh negara.
“Bagi individu yang disenaraihitamkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mereka dibenarkan keluar negara tanpa sekatan bermula 1 Jun lalu, selaras dengan surat arahan agensi yang diterima JIM pada tarikh sama.
“Saya dimaklumkan, JIM telah mengambil tindakan menyelaraskan senaraihitam berkenaan dalam sistemnya untuk memastikan pelaksanaan pelepasan senaraihitam oleh LHDN,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini, rekod dalam sistem senaraihitam JIM telah mencatatkan jumlah sebanyak 636,202 orang atau peminjam yang masih disenaraihitamkan oleh agensi lain.
Muhyiddin bagaimanapun, tidak menamakan agensi berkenaan. – MalaysiaGazette