PUTRAJAYA – “Are you okay Datin Seri?” teriak pihak media sebaik Datin Seri Rosmah Mansor melangkah keluar dari bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas selesai memberi keterangan kira-kira jam 3.45 petang.
Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu bagaimanapun hanya tersenyum tanpa berkata apa-apa sebaliknya terus menaiki kenderaan Mercedez Benz berwarna perak dengan nombor pendaftaran WQF11 yang telah menunggu sejak awal lagi.
Para wartawan yang membuat liputan mengambil kesempatan bertanyakan mengenai perjalanan soal siasat, namun tiada jawapan diperoleh.
Hampir 100 para wartawan dan pengamal media hadir di perkarangan pintu masuk SPRM sejak jam 8 pagi.
Terdahulu, Rosmah yang berbaju kurung biru berselendang merah tiba pada jam 10.45 pagi turut diiringi peguamnya kanan, K Kumaraendran dan Geethan Ram Vincent.
Anak perempuan Rosmah, Nooryana Najwa turut menemani ibunya dan menunggu sehingga sesi memberi keterangan selesai. -MalaysiaGazette