Home Nasional Jenazah bonda Sultan Johor dijangka tiba malam ini

Jenazah bonda Sultan Johor dijangka tiba malam ini

Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli memaklumkan Jenazah bonda Sultan Johor, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah akan dimakamkan di Makam DiRaja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru sebelum solat Zohor esok.
Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli memaklumkan Jenazah bonda Sultan Johor, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah akan dimakamkan di Makam DiRaja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru sebelum solat Zohor esok.

JOHOR BAHRU – Jenazah bonda Sultan Johor, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah akan dimakamkan di Makam DiRaja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru sebelum solat Zohor esok.

Jenazah Almarhumah yang dibawa dengan pesawat peribadi Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dijangka tiba di Hangar DiRaja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) pada 10.30 malam ini.

Sultan Ibrahim bersama Keluarga serta Kerabat DiRaja Johor akan menyambut jenazah Almarhumah sebelum dibawa menaiki van jenazah Jabatan Agama Islam Negeri Johor ke Istana Besar, Johor Bahru untuk disemayamkan.

Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli memaklumkan, bacaan Al-Quran akan diperdengarkan sepanjang masa ketika jenazah Almarhumah disemayamkan di Istana Besar.

“Jenazah akan ditempatkan dalam keranda khas serta diselimuti bendera Kerabat Diraja Johor sebelum diusung menaiki pedati dan diarak ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah esok,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, pedati yang direka khas oleh Almarhum Sultan Abu Bakar pada 1886 itu akan ditarik oleh 40 Askar Timbalan Setia Negeri sejauh 2.8 kilometer selama hampir 45 minit.

Beliau berkata, jenazah Almarhumah akan dimakamkan sebaris dengan makam Almarhum Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Iskandar Sultan Ibrahim.

Almarhumah yang berusia 82 tahun mangkat pada jam 7.55 malam (waktu London) di Hospital King Edward VII, London (1 Jun).

Hajah Khalsom atau nama asalnya, Josephine Ruby Trevorrow dilahirkan pada 2 Disember 1935 di Cornwall, England.

Hasil perkahwinan bersama Almarhum Sultan Iskandar, Almarhumah dikurniakan tiga puteri serta seorang putera iaitu Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah; Tunku Besar Zabedah Aminah Maimunah Iskandariah; Sultan Ibrahim dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. – MalaysiaGazette