Home Nasional KDN tubuh jawatankuasa khas kaji semula kemasukan Pati – Muhyiddin

KDN tubuh jawatankuasa khas kaji semula kemasukan Pati – Muhyiddin

Muhyiddin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat proses permohonan dan memperbaharui pasport di Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Presint 3, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 05 MEI 2018

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji dan menilai semula kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini daripada pelbagai aspek.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa itu yang dipengerusikan beliau sendiri akan mengkaji sektor yang ada dalam negara ini mengikut keperluan dari segi penggunaan tenaga kerja asing.

“Kita akan kaji dari pelbagai aspek supaya dapat diuruskan kemasukan dan pengambilan Pati ini dengan lebih baik.

“Kita tidak mahu mereka masuk ke negara ini melalui pintu masuk sah, tetapi tidak balik ke negara asal selepas tamat tempoh permit dan tinggal lebih lama di sini dengan melakukan kerja tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepa melakukan lawatan kerja ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini, dan mendengar taklimat mengenai urus tadbir JIM oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafa Ali.

Terdahulu, Muhyiddin turut berkomunikasi secara atas talian dengan Atase dan Konsular yang mengurus visa dan pasport di 30 negara di dunia termasuk India, China, New York, Moscow, Bangkok, Jeddah dan Australia.

Mengenai langkah mengurangkan jumlah Pati sedia ada di negara ini, beliau berkata, pihaknya akan menetapkan syarat kepada sektor berkaitan agar mengutamakan pengambilan tenaga kerja tempatan beserta dengan gaji yang sesuai.

“Jika satu-satu sektor itu gagal mendapat tenaga kerja tempatan, barulah kita pertimbangkan untuk mereka mengambil pekerja asing.

“Semua ini akan diuruskan oleh jawatankuasa khas yang kita akan tubuhkan. Kita akan teliti masak-masak. Kita tahu Pati ini antara masalah besar yang kita perlu uruskan.

“Kita akan lihat kenapa kenapa dan apa sebab berlaku kebanjiran Pati dan pelbagai aspek lain lagi. Apa yang kita tahu, kemasukan mereka tanpa melalui saluran sah memberi kesan tidak baik pada kos negara,” katanya. – MalaysiaGazette

+ posts