Home Akhbar Cina Mat Sabu akui kekok, minta dipanggil Abang Mat

Mat Sabu akui kekok, minta dipanggil Abang Mat

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

PUTRAJAYA – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang bertransformasi daripada seorang penceramah politik kepada menteri kanan mengakui dirinya sedikit kekok dengan peranan baharu yang diberikan kepadanya.

Ditanya sama ada sudah biasa dengan kehidupan sebagai menteri, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, “(tidak biasa) itu pasti, kalau baru  berkahwin, kami pun akan berasa kekok pada lima hari pertama.”

Kata Mat Sabu lagi, beliau melihat cabaran baharu dengan senang hati dan percaya dapat membiasakan diri dengan secepat mungkin.

“60 tahun sepatutnya ialah umur persaraan, tetapi 60 tahun adalah sangat muda di sini (dalam Kabinet).

” Tiada orang yang akan berani mengeluh kepenatan di depan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya kepada Sinchew Daily.

Dalam pada itu, Mat Sabu berkata, beliau senang jika orang memanggilnya sebagai abang Mat.

Selain itu, sebagai penghormatan kepada tentera, Mohamad memilih untuk tidak memakai pakaian seragam tentera dan mengarahkan pakaian berkenaan tidak disalah guna dan pangkat tentera tidak dikurniakan kepada orang politik.

“Saya mahu pastikan hanya mereka yang betul-betul layak akan mendapat pangkat,” katanya.

Mat Sabu juga berkata, beliau hanya mendengar pujian berkenaan pelantikannya sebagai Menteri Pertahanan tetapi “tidak mendengar” suara-suara yang mempertikaikan kelayakan akademiknya untuk jawatan itu.

Mengenai dasar negara, Mat Sabu berkata, Kementerian Pertahanan akan mengekalkan dasar tersedia sehingga dasar pertahanan yang baharu dibentuk. – MalaysiaGazette