Home Nasional Rosmah beri keterangan cuma tiga jam – Peguam

Rosmah beri keterangan cuma tiga jam – Peguam

Rosmah Mansor
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor emasa kali pertama memberi keterangan berhubung kes SRC International di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 05 JUN 2018

PUTRAJAYA – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya mengambil masa tiga jam untuk menyoal siasat isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut peguamnya, Datuk K Kumaraendran, Rosmah memberikan kerjasama yang baik terhadap siasatan ke atas dirinya berhubung SRC International.

“Datin Seri Rosmah telah selesai diambil keterangan selama tiga jam dan Datin Rosmah telah memberi kerjasama penuh kepada SPRM, begitu juga dengan SPRM,” katanya dalam sidang media di perkarangan SPRM hari ini.

Peguam kanan, Datuk K Kumaraendran bercakap kepada media selepas isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir untuk memberi keterangan berhubung kes SRC International di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 05 JUN 2018

Rosmah meninggalkan perkarangan SPRM jam 3.45 petang setelah hadir bagi sesi memberi keterangan sebaik tiba jam 10.45 pagi tadi.

Ditanya samada Rosmah akan dipanggil semula untuk memberikan keterangan, K Kumaraendran bagaimanapun enggan mengulas.

“Kita tak akan ambil soalan daripada pemberita,” katanya ringkas sebelum berlalu meninggalkan bangunan SPRM.

Rosmah yang hadir lengkap berbaju kurung biru dan berselendang merah turut diiringi anak perempuan beliau, Nooryana Najwa Najib dan menantunya, Daniyar Keesibayev.

Hadir sama peguam kedua beliau, Datuk Geethan Ram Vincent.

Isteri kepada Najib Razak itu hadir untuk memberi keterangan dan membantu siasatan kes berhubung SRC International Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012. – MalaysiaGazette