KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia menambah jadual penerbangan ke Kota Kinabalu menjelang perayaan Aidilfitri yang akan disambut seluruh umat Islam minggu depan.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, penambahan itu dibuat selepas pihaknya mendengar rintihan orang ramai khususnya warga Sabah yang masih belum mendapatkan tiket untuk pulang berhari raya.
Menurutnya, AirAsia telah menambah jadual penerbangan pada 14 dan 17 Jun ini dengan kadar tambang tetap iaitu RM199.
“”Semalam, kami mengumumkan penerbangan tambahan lewat malam di laluan terpilih di Semenanjung Malaysia dan dari Kuala Lumpur ke Kuching.
“Kami gembira untuk berkongsi bahawa kami dapat menyediakan penerbangan tambahan ke Kota Kinabalu juga.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa yang terlibat, terutamanya Malaysia Airports atas sokongan mereka dalam membuat penerbangan tambahan ke Sabah,” katanya menerusi kenyataan itu.
Riad turut mengingatkan agar penumpang yang membawa bagasi yang telah didaftarkan agar datang awal bagi memastikan mereka mempunyai masa yang mencukupi sebelum ke pintu pelepasan.
Katanya, ini kerana kaunter masuk ke KLIA2 bagi penerbangan antarabangsa dan domestik akan ditutup sejam lebih awal sebelum penerbangan berlepas. – MalaysiaGazette