ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri dituntut mendesak kerajaan Pusat supaya menarik balik keputusan membatalkan permohonan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan kedaulatan Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) dan Tubir Selatan (South Ledge).
Bantahan itu dibuat oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor menerusi satu memorandum bantahan yang diserahkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Hasni Mohammad di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad di Kota Iskandar di sini hari ini.
Turut bersama beliau adalah ADUN Kahang, R. Vidynathan dan bekas ADUN Kemelah, Datuk Ayub Rahmat.
Hasni berkata, pulau itu adalah hak milik dan kedaulatan negara dan rayuan mendapatkan pulau berkenaan perlu diteruskan.
Tambahnya, kerajaan pusat juga sehingga kini tidak memberikan alasan kukuh mengapa rayuan itu ditarik balik sedangkan terdapat tiga bukti baharu yang membolehkan ICJ menilai dan tidak mustahil ia menjadi hak Johor.
“Lebih malang lagi kerajaan negeri hanya menyokong sahaja apa yang diputuskan oleh kerjaan persekutuan tanpa terlebih dahulu mengemukakan sebarang bentuk penjelasan dan ini saya rujuk apabila Menteri Besar sendiri mengakui tidak mengetahui perjalanan permohonan pembatalan dan sejarah berkenaan dengan tuntutan itu.
“Jadi saya kira alasan seperti itu tidak kita boleh terima,” katanya.
Beliau menegaskan, penarikan pembatalan rayuan itu juga perlu dibuat kerana Sultan Johor terdahulu, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail pernah menyatakan bahawa Pedra Branca, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah milik Johor. – MalaysiaGazette.