Home Nasional PERSIM kecewa SPAD hanya ubah nama

PERSIM kecewa SPAD hanya ubah nama

KUALA LUMPUR – Keputusan Kementerian Pengangkutan (MOT) menukar Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan bukan membubarkan terus badan tersebut cukup mengecewakan.

Malah, fungsi serta pengekalan jawatan SPAD di unit Perancangan, dan Pembangunan Sektor Pengangkutan Awam Darat benar-benar memberi tamparan hebat kepada golongan pemandu teksi.

Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERSIM), Kamarudin Mohd Hussain berkata, pihaknya kecewa kerana harapan yang diberikan kepada golongan teksi ini berlainan sekali.

“Kami telah hilang kepercayaan terhadap SPAD selama ini dan tindakan mengekalkan mereka dengan jawatan asal memberi gambaran awal sejarah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan berulang lagi. Kami tertanya-tanya adakah nasib serta perjuangan kami akan terbela kini?

“Kami boleh terima keputusan serapkan pekerja SPAD untuk pastikan mereka tidak hilang kerja, kami pun bukan kejam sangat. Kami juga faham perbezaan Akta APAD dan SPAD, tetapi kekalkan mereka dengan jawatan sebelum ini yang kami tidak faham.

“Apakah kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak langsung mempunyai golongan bijak pandai yang mampu menggantikan pegawai-pegawai SPAD yang telah terbukti gagal membawa sebarang pembaharuan kepada industri sejak 2010?

“Mengapa langsung tiada sebarang perbincangan dengan pemain industri seperti kami dalam perkara ini? Pandangan kami juga penting kerana ini adalah antara isu utama yang diperjuangkan selama bertahun. Dengan tidak endahkan kami, buat keputusan bersendirian beri impak negatif kepada umum,” katanya.

Jelas Kamarudin, tindakan kerajaan seolah-olah gagal melihat isu periuk nasi pemandu-pemandu teksi sebagai satu isu penting.

“Kami bukan tentang kerajaan, kami hanya mahu didengari. Kerajaan sebelum ini telah gagal menyelesaikan penindasan seperti monopoli yang sudah lama menyelubungi perkhidmatan teksi.

“Kami terpaksa bersuara apabila melihat MOT tidak melihat penderitaan kami, pesanan ringkas dari kami, jangan buat keputusan yang memberi kesan negatif warga pemain industri seperti teksi, bas dan lori terhadap kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, PERSIM juga menggesa kerajaan untuk mencari kaedah mengharamkan Uber dan Grabcar demi kelangsungan industri teksi.

“MOT perlu segera mencari penyelesaian dalam isu kereta sapu Grab yang terang-terang mencabuli kedaulatan undang-undang dan bukannya menyelamatkan periuk nasi pegawai-pegawai SPAD yang menggalakkan masyarakat ‘mencabuli’ peraturan.

“Seandainya negara luar boleh haramkan aktiviti kereta sapu seperti Uber dan Grab, mengapa Malaysia ada masalah?

“Kelebihan pada aplikasi yang digunakan Uber dan Grabcar boleh digunakan untuk membangunkan perkhidmatan teksi. Ia akan memberi kemudahan kepada orang ramai dan pemandu teksi sendiri, selain memudahkan pemantauan terhadap sebarang kesalahan,” tegasnya. – MalaysiaGazette