KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam masa terdekat, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Tindakan itu, ujarnya, selaras dengan pembubaran Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) baru-baru ini dalam masa keperluan untuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang kepada pesalah sehingga mengakibatkan kemalangan juga perlu diutamakan.
“Memang kita akan mengkaji Akta Pengangkutan Jalan dan akan dipinda tidak lama lagi kerana kita mahu memperkasakan lagi JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) selepas kita membubarkan SPAD dari segi penguatkuasaan kita akan oindahkan ke JPJ.
“Tetapi cadangan spesifik untuk ketatkan lagi hukuman ke atas mana-mana kesalahan mengakibatkan maut jalan raya kita akan kaji sama ada ia mencukupi ketika ini atau kita ada akta-akta lain yang boleh membawa hukuman yang lebih berat kepada kesalahan yang mengakibatkan kemalangan maut,” katanya.
Terdahulu Anthony diminta mengulas mengenai keperluan kerajaan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan apabila wujudnya persepsi bahWa pesalah jalan raya yang mengakibatkan kemalangan maut menerima hukuman yang tidak setimpal.
Tambah beliau, bukan setakat program kempen untuk kesedaran sahaja yang perlu diutamakan malah aspek perundangan melibatkan jalan raya juga tidak boleh ketinggalan.
“Kempen itu penting tapi lebih penting komprehensifnya iaitu perundangan langkah keselamatan,” ujarnya lagi.
Beliau dalam masa yang sama mencadangkan agar setiap kerajaan negeri menubuhkan portfolio pengangkutan masing-masing.
Anthony berkata, portfolio itu akan berperanan untuk meneliti setiap isu bersabit pengangkutan dan keselamatan jalan raya di setiap negeri.
“Bila saya pergi ke semua negeri nanti saya mahu mencadangkan kepada Ketua Menteri atau Menteri Besar untuk menubuhkan Exco Pengangkutan,” tambahnya.
Anthony terdahulu hadir di Tol Sungai Besi bagi melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha Ke-20 untuk tahun 2018.-MalaysiaGazette